"Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara" - Riwayat Muslim.

Hanya KepadaMu Ku Bermohon.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Ku renung pada langit yang kebiruan. Subhanallah. Indahnya ciptaanMu ya Allah. Layakkah insan seperti aku ini berjalan dengan penuh megah? Sedangkan aku ini hanya berasal daripada setitis air mani yang hina.
Ya Allah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan sehingga tidak terhitung olehku. Aku alpa ya Allah... Aku lupa bahawa aku ini hanya insan yang lemah. Tanpa sebarang kekuatan, dan jika Engkau tiada untuk membantu, apalah dayaku. Namun, seringkali aku berbuat kemungkaran tanpa menghitung pahala dan dosa. 
Ya Allah, aku merasa beratnya beban yang ditanggung ini. Sepatutnya aku menjadi pendokong dalam meneruskan dakwah islam, namun aku sendiri menghancurkan diri sendiri. Aku malu ya Allah. Malu padaMu dan malu pada semua yang memandang tinggi kepadaku.
Ya Allah, bantulah aku. Bantulah hambamu ini untuk berhijrah ke arah kebaikan dan terus istiqamah. Bantulah aku untuk menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang islam. Bantulah aku ya Rahman. Mungkinkah suatu hari nanti, dengan kasih sayangMu, aku dapat meninggalkan dosa-dosa yang aku lakukan kini? Dengan rahmat dan kasihan belasMu, aku dapat melaksanakan tanggungjawab ku kepadaMu? Mungkinkah, sedangkan aku selalu membelakangkanMu?
Ku akui, amat susah untuk meninggalkan perkara yang sudah menjadi tabiat. Meskipun ia suatu kemungkaran, kerana sudah terbiasa. Ku fikirkan banyak lagi masa untuk bertaubat.
Hakikatnya aku sedar ya Allah. Hari demi hari umurku semakin berkurang dan berkurang. Sehinggakan pada suatu masa nanti sudah tidak mampu lagi untuk bertaubat kerana kesakitan menghadapi sakaratul maut. Dan mungkin juga tiada sempat untuk aku bertaubat lantaran nyawaku ini hanyalah satu pinjaman. Bila-bila sahaja Engkau akan mengambilnya tanpa ku duga.
Mungkinkah pada waktu itu baru aku hendak menyesal? Sedangkan peluang dan masa ku tiada lagi untukku. Aku tidak mahu ya Allah. Sungguh aku tidak mampu menanggung seksa azabMu kerana sakit yang ku alami kini pun sudah tidak tertanggung sakitnya. Ini baru ujian di dunia. Apakah di akhirat nanti ku akan menerima azab yang lebih peritnya?
Ya Allah, ampunkanlah aku. Hapuskanlah dosa-dosa yang telah ku lakukan selama ini dan terima kasih ya Allah kerana dugaan yang Engkau timpakan padaku inilah akhirnya yang mengingatkan diriku kembali,  betapa kerdilnya diri ini.
Wahai sahabat..
Apakah kau masih alpa seperti diri ini jua? Berubahlah, kerana sahabatmu ini sayangkan dirimu. Dan kerana itulah aku tidak mahu apa yang berlaku pada diriku juga terjadi kepadamu. Gunakanlah kesempatan dan peluang yang ada untuk mendekatkan dirimu kepada Allah.
Untuk diriku dan dirimu, ingatlah "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan dia yang mengubah nasibnya sendiri". Saat ini, aku berusaha untuk mengubah diriku dan terus istiqamah dijalan yang Engkau redhai ya Allah. Aku ingin membawamu bersama-samaku. Ya, bersama-samalah kita menuju ke pintu syurga-Nya. InsyaAllah. Doakan saya wahai sahabat? Ana Uhibbuki Fillah.
Wallahua'lam.