"Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara" - Riwayat Muslim.

Terima kasih Ya Allah.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Saya hanya insan biasa yang masih lagi mencari sinar redha-Nya. Saya bukan lah pelajar lepasan sekolah agama mahu pun mempunyai latar belakang anak seorang ustaz mahu pun ustazah. Semuanya berlaku ketika saya mula mendengar lagu-lagu nasyid.
Ya, nasyid telah membawa kepada saya hari ini. Menggunakan pemikiran rasional untuk menilai sesuatu perkara itu diri saya. Dari sini (mendengar lagu berunsurkan keTuhanan) membuatkan jiwa saya lembut lantas mengajak saya berfikir tentang ciptaan-Nya. Saya mula mencari persoalan kepada setiap jawapan. Setiap kali seusai solat, tangan di tadah mohon kepada-Nya agar di beri petunjuk dan hidayah milik-Nya. Alhamdulillah, lama ke lamaan saya menyedari doa saya di makbulkan oleh -Nya.
Terima kasih ya Allah. Hati ini mula tersentuh apabila mendengar zikirullah memuji kebesaran-Nya. Saat bibir mengalunkan kalamullah, membuat minda ini berfikir tentang nikmat kebesaran yang telah Dia kurniakan yang mana sebelum ini tidak pernah saya sedari. Hati menjadi tenang tatkala meluahkan segala rasa hati kepada Maha Pencipta seusai solat tengah malam. Allahu Rabbi, terima kasih Ya Allah.
Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya mula mencari makna kehidupan. Yang dahulu jika hanya mencari redha manusia,kini saya lebih tenang untuk mencari redha Dia. Setiap apa tindakan yang di lakukan, Dia, saya jadikan sandaran. Terasa seolah-olah Dia sentiasa menemani saya. Sama ada saya berada di dewan peperiksaan mahu pun bersendirian.
Jika dahulu saya menjadi mangsa fesyen, kini tidak lagi. Segala-galanya berubah sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, kini pakaian saya lebih kepada mencari pujian dari-Nya. Setiap kali hendak melangkah keluar, saya akan pastikan bahawa handsock pada lengan, stokin pada kaki, tudung melebihi paras dada dan tidak jarang, seluar yang tidak menampakkan susuk tubuh di kenakan.
Syukur, walaupun payah pada awalnya kini ia sudah menjadi kebiasaan. Rasa tidak lengkap pula jika tertinggal salah satu darinya. Saya berharap dengan pakaian yang dikenakan, membuat diri ini lebih berharga dan tiada lagi usikan-usikan nakal dari yang bernama "lelaki". Terasa seperti sentiasa dilindungi-Nya walaupun saya berjalan seorang diri.
Allah Maha Besar, mungkin disebabkan tudung yang di labuhkan membuatkan diri ini menonjol dari kebiasaan yang lain. Setiap kali berselisih dengan mereka yang juga seperti saya *memakai tudung labuh* seolah-olah ada "signal" sesuatu yang akrab. Aneh bukan? tapi itu lah yang saya rasa. Dan, seperkara lagi. Rasa lebih di hargai oleh mereka yang bergelar "adam". Mereka sanggup beralah tatkala bersesak di dalam bas, agar tidak bersentuhan dengan saya. Allahuakhbar, terdetik di hati.
Terima kasih Ya Allah. Sungguh, indah agama-Mu ini Ya Allah. Tidak ada satu pun cacat celanya. Sebak perasaan tatkala mengenangkan apa yang telah Dia kurniakan pada diri ini. Masih banyak lagi perkara yang perlu diri ini perbaiki. Semoga saya terus istiqamah untuk bermujahadah mencari redha-Nya. Doakan saya juga ya sahabat...
" Aku adalah anak-anak panah Islam, campaklah aku ke mana saja, aku pasti berjuang untuk Islam"- Saad bin Abi Waqas.